Walaupun sedang hamil tiga bulan, Anne memberitahu dia seronok dapat menemani suaminya berkempen untuk Barisan Nasional di Pontian, Johor.
PETALING JAYA: Walaupun sedang hamil tiga bulan, pelakon Anne Ngasri tetap menemani suaminya, Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 29, berkata, setiap Jumaat hingga Ahad dia dan suaminya akan ke Pontian, Johor untuk membantu calon di kawasan tersebut memperkukuhkan kempen bagi kemenangan Barisan Nasional (BN).
“Keadaan saya yang hamil tidak menghalang untuk saya menemani suami berkempen malah saya cukup bersemangat.
“Bagaimanapun bukan setiap hari saya keluar berkempen tetapi mengikut kesesuaian dalam keadaan berbadan dua. Namun peluang turun berkempen cukup menyeronokkan,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anne berkata, pengalaman pertama turun padang membantu calon PRU-13 bagi Parlimen Pontian iaitu Datuk Ahmad Maslan sangat berharga buatnya.
Anne berkongsi gambar bersama suaminya, Sumali ketika menghadiri sebuah majlis di Pontian baru-baru.
Jelas Anne, dia tidak berasa kekok menyertai aktiviti itu kerana dia sendiri adalah seorang ahli Umno.
Sementara itu, Anne berkata, selepas ini dia akan mengurangkan aktiviti seni sehingga dijangka bersalin pada September depan.
Kandungannya kali ini tidak mempunyai sebarang masalah dan pengalaman melahirkan tiga cahaya mata sebelum ini banyak membantu Anne mengawal situasi.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan peluang ini saya akan gunakan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan Insya-Allah saya akan kembali aktif selepas bersalin kelak,” katanya.
Anne dan Sumali mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 22 Disember 2012.
Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 4, dan Nazharah Afrozah yang kini berusia tiga tahun.
Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim, 8, hasil perkahwinan terdahulunya.
No comments :
Post a Comment