Janji kononnya harga minyak akan diturunkan jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini, merupakan satu pembohongan besar pihak pembangkang bagi menarik sokongan rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menjaja cerita itu dalam siri ceramahnya, hanya bertujuan memancing undi semata-mata.
“Jika harga minyak diturunkan 20 sen seliter, kerajaan akan menanggung bebanan berjumlah RM4 bilion setahun, apa yang dijaja Anwar, hanyalah janji bohong semata-mata,” katanya.
Beliau berkata Anwar dilihat bertindak menabur segala janji bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mencapai cita-citanya ke Putrajaya.
Anwar pada ceramahnya di Simpang Sebertak, dekat sini dua hari lepas menaburkan pelbagai janji termasuk menurunkan harga minyak bagi menarik sokongan rakyat di kawasan berkenaan.
“Rakyat jangan mudah terperangkap dengan pembohongan pembangkang kerana apabila hajat mereka tercapai, segala yang dijanjikan hancur dan hilang semuanya dan yang menderita adalah rakyat,” kata Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi kawasan Parlimen Bera.
Mengulas mengenai tuduhan calon PKR di Parlimen Bera, Zakaria Abdul Hamid, kononnya kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi menangani bekalan air dan meningkatkan kemudahan infrastruktur, Ismail Sabri berkata calon PKR itu bercakap tanpa fakta yang benar.
“Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM18 juta sebelum ini bagi kerja-kerja menaik taraf jalan antara simpang Triang Satu ke Tembangau, sebanyak RM10 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf jalan dari Kerayong ke Simpang Sebertak dan RM10 juta lagi untuk kerja-kerja menaiktaraf jalan dari Simpang Pos Iskandar Orang Asli ke jalan Ladang Bera Kemayan,” katanya.
Beliau berkata kerja kerja menaik taraf jalan itu dijangka siap akhir tahun ini.
Mengenai masalah bekalan air, Ismail Sabri berkata kerja-kerja menukar batang batang paip lama di parlimen itu sedang dijalankan kontraktor membabitkan peruntukan lebih RM50 juta.
“Semua tuduhan Zakaria itu tidak benar sama sekali kerana kerajaan dari masa ke semasa melaksanakan pembangunan di daerah ini,” katanya.
No comments :
Post a Comment